How to certified as professional engineer?
Peristiwa Israk dan Mikraj
Assalamualaikum dan salam 27 Rejab 1434 Hijrah. Titipan penulisan pada kali ini adalah menceritakan kronologi kisah israk dan mikraj yang menjadi lambang keagungan kuasa Allah dan menjadi dugaan dan cabaran kepada awamim seperti admin bagi mengimani suatu kisah ulung yang mungkin bagi sesetengah pihak merupakan kisah fiksyen dongengan semata-mata. Namun demikian, pelajaran pertama dalam islam ialah percaya kepada perkara ghaib iaitu meyakini sesuatu yang tidak dapat dilihat dari mata kasar namun dirasai kehadiran-Nya dengan mentafsir dan menilai ciptaan-Nya. Zikirullah. Peristiwa agung ini mengajar umat islam tentang keagungan Maha Pencipta dan menjadi titik tolak permulaan kepada solat fardhu 5 kali sehari. Kisah tersebut adalah seperti berikut:
1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati baginda dibasuh dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
1) Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
2) Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah
3) Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu
Baginda menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
1) Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2) Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
3) Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4) Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5) Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
6) Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
7) Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang belum selesai menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
8) Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9) Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memperihalkan orang lain(mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10) Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11) Seorang perempuan cantik yang membawa bersama dulang penuh perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12) Seorang perempuan duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensiakan umurnya sampai ke tua.
13) Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya.
Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
iLangit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.
Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.
Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S.
"bersabda,syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WALHAMDULILAH, WALAHILAH,ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL-'ALIYYIL-'AZHIM.
Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah.Dahan-dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Tangga Kesembilan: Di sini berjumpa dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud.
Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.Engkau berikan Isa kitab Taurat dan mukjizat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada yang lain.Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu dan dikurangkan lima waktu, sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut).
Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1)
Sebelah Sayap
Allah telah menunjukkan kita dengan jelas di dalam Hadith riwayat Muslim yang mana Rasulullah SAW menceritakan perihal pembunuh yang telah membunuh 100 orang. Kala dia membunuh 99 orang sebelumnya, dia bertemu dengan seorang alim untuk bertaubat.Alim-alim ini menyatakan dia tidak boleh bertaubat, tak ada harapan. Maka apakah balasan Allah kepada si alim-alim ini? Alim-alim ini dibunuh. Menjadi asbab kepada si pembunuh menambah lagi dosanya. Di dalam syarah hadith tersebut, ianya seakan simbolik kepada 'tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pendakwah'.Kemudian dalam keadaan mangsanya genap 100, pembunuh tadi tetap tidak melepaskan sangka baiknya kepada Allah, lantas dia mencari pula alim yang seterusnya untuk mengajarnya agar bertaubat.Alim yang seterusnya menyatakan bahawa pengampunan Allah amat luas. Dan menunjukkan kepada si pembunuh kampung yang suasananya baik untuk perubahan. Maka si pembunuh, bergerak ke kampung itu. Di tengah perjalanan dia dijemput kematian.Sengaja Allah mengarahkan sebuah 'drama' antara malaikat rahmat dan malaikat azab, untuk melakonkan 'sketsa' apakah lelaki ini ke syurga dan ke neraka. Sengaja Allah menyuruh dua malaikat ini mengukur jarak lelaki ini antara dua kampung. Jika hampir ke kampung kebaikan, bawalah dia ke syurga, jika lebih hampir dengan kampung yang sebelumnya, bawalah dia ke neraka. Bila diukur, nyata dia lebih dekat dengan kampung kebaikan dan dia dibalas dengan syurgaNya, walau belum lagi bertaubat.Mengapa wujudnya 'drama' dan 'sketsa' itu? Apakah kerana lelaki itu bernasib baik mati dalam keadaan dirinya berjaya lebih dekat dengan kampung kebaikan? Tidak. Siapakah yang mematikan lelaki itu, di saat itu, pada tempat itu, pada jarak yang sedemikian?Bukankah Allah? Maka tidakkah kita melihat? Allah telah menerima pembunuh yang bersungguh untuk bertaubat ini, bahkan memuliakannya hingga malaikat sanggup 'berbincang' akan siapakah yang lebih layak mengambilnya, dan nyata dia telah lebih mulia dengan 'dipilih' sendiri oleh Allah SWT untuk memasuki syurgaNya.Apakah alim yang pertama sehingga yang ke-99 dapat? Mereka tidak mendapat apa-apa dek emosinya. Sedang pembunuh 100 orang memasuki syurgaNya. Begitulah Allah memberikan pembalasan. Adil-Nya tidak akan mampu diukur sendiri oleh manusia.
Masalah Posto
Pasti sudah lama admin tidak update blog nie since hari-hari yang berlalu tidak memberi kesempatan kepada admin untuk beri perhatian kepada blog ini. But then hari ini ada member admin work on blog dia. Barulah teringat yang admin masih ada blog yang masih aktif. Insyallah, kalau ada kesempatan admin akan terus update blog nie bersama dengan update menarik. Perkongsian hari ini:
Seketika
Dalam perjalanan sebuah kehidupan, kadangkala kita seperti sesat dalam perhitungan. Hilang pertimbangan dan tumpuan. Seperti menulusuri sungai tanpa bertepi. Seakan hilang punca dan arah tujuan. Itulah detik seketika yang dibayar setiap insan dalam mengejar impian dan objektif kehidupan.
Aku turut melalui detik seketika yang sama. Sesat dalam lambakan impian sendiri. Dimana mahu aku cari punca?
Tempat bergantung harap dan titik motivasi diri pemangkin kecermelangan unggul.